Kerjaya kelab Moussa Dembélé (pemain bola sepak Perancis)

Fulham

Pada tahun 2012, Dembélé telah menyertai kelab Fulham dari Paris Saint-Germain semasa beliau baru berusia 16 tahun.[6] Beliau seterusnya menjadi pemain utama bagi pasukan bawah-18 Fulham yang menjuarai Liga Akademi Perdana pada musim sulungnya di sana.[7] Beliau menandatangani kontrak pertamanya bersama Fulham pada Julai 2013 yang menetapkannya sebagai pemain Fulham sehingga musim panas 2015.

Dembélé hanya memanaskan bangku simpanan Fulham semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Swansea City pada 23 November 2013.[8] Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Fulham pada seminggu kemudian semasa menentang West Ham United. Beliau beraksi sebagai pemain gantian pada minit ke-83 permainan selepas menggantikan Kieran Richardson dalam perlawanan yang berkesudahan dengan kekalahan 3–0 di Boleyn Ground.[9] Namun, beliau menamatkan perlawanan tersebut dengan mengalami kecederaan.[10] Pada 30 Mac 2014, beliau beraksi sebagai barisan kesebelasan utama Fulham buat kali pertama ketika pasukannya mengalami kekalahan 3–1 kepada Everton.[11] Fulham menamatkan kempen pada musim itu dengan berdepan penyingkiran ke Liga Kejuaraan. Beliau masih lagi dibenarkan untuk beraksi bersama pasukan akademi. Beliau telah menjaringkan gol pada kedua-dua perlawanan akhir Piala FA Belia.[12]

Pada 28 Oktober 2014, pada perlawanan pusingan keempat Piala EFL, Dembélé telah menjaringkan gol pertamanya dengan menghasilkan dua gol untuk meletakkan Fulham mendahului lawan 2-0 ke atas Derby County. Namun, perlawanan itu berakhir dengan kekalahan 5-2.[13]

Dembélé menjaringkan gol sulungnya dalam saingan liga ketika mengatasi Blackburn Rovers 2-1 pada 13 September 2015. Beliau juga telah menjaringkan dua gol ketika menewaskan Reading 4-2 pada 24 Oktober.[14] Dembélé sekali lagi menjaringkan dua gol pada minggu berikutnya semasa menundukkan Bristol City 4–1 di Ashton Gate.[15] Pada penghujung tahun 2015, beliau telah menghasilkan sepuluh gol untuk musim kali ini.[16]

Celtic

Pada 28 Jun 2016, kelab Scotland iaitu Celtic telah mengikat Dembélé dengan rundingan kontrak selama empat tahun.[17] Pada 12 Julai, beliau melakukan penampilan sulungnya pada hari ulang tahunnya ke-20 semasa menentang Lincoln Red Imps pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara.[18]

Pada 3 Ogos, Dembélé telah menjaringkan gol pertamanya untuk Celtic pada minit ke-92 permainan menerusi tendangan penalti semasa menentang Astana sekali gus melayakkan Celtic ke pusingan play-off.[19] Seterusnya, beliau menjaringkan dua gol ketika menentang Motherwell pada pusingan ke-16 Piala Liga Scotland yang berakhir dengan kemenangan 5-0.[20] Beliau turut menjaringkan gol keempat pasukannya untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 5–2 ke atas Hapoel Be'er Sheva pada minggu berikutnya.[21]

Pada 10 September, semasa aksi pasukannya menewaskan Rangers 5–1 di Parkhead, beliau telah menjairngkan hatrik Celtic yang pertama dalam pertembungan liga Old Firm sejak Stevie Chalmers melakukannya pada tahun 1966[22] dan merupakan pemain Celtic pertama yang menjaringkan hatrik dalam mana-mana perlawanan menentang Rangers sejak Harry Hood pada tahun 1973.[23] Ketiga-tiga jaringan beliau itu juga dianggap sebagai "hatrik yang sempurna" kerana beliau menjaringkan gol dengan cara menanduk, menggunakan kaki kanan dan kaki kirinya.[24] Pada 24 September, Dembélé telah menjaringkan dua gol pada perlawanan menewaskan Kilmarnock 6-1.[25] Pada empat hari berikutnya, beliau menjaringkan dua gol buat kali pertama dalam saingan Liga Juara-Juara semasa menentang Manchester City yang berakhir dengan keputusan seri 3–3.[26] Rekod jaringannya pada masa itu telah menobatkannya sebagai Pemain Terbaik Bulanan Liga Scotland bagi bulan September.[27]

Dembélé menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan untuk mebolehkan pasukannya meraih kemenangan tipis 1–0 ke atas Rangers pada 23 Oktober lalu megesahkan kemaraan Celtic menuju ke final Piala Liga.[28] Beliau menjaringkan gol lagi pada aksi final ketika menentang Aberdeen dari jarak kotak penalti sebelum Celtic meraih kemenangan selesa 3-0 sekali gus menandakan trofi pertama yang dirangkul dalam karier Dembélé.[29]

Dembélé telah dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea ketika jendela perpindahan pada Januari 2017. Secara kebetulan, beliau telah dihantar ke sebuah hospital di Chelsea untuk mendapatkan rawatan pada 31 Januari iaitu hari terakhir jendela perpindahan.[30] Namun, pengurus Chelsea Antonio Conte menafikan khabar angin itu dengan menyatakan bahawa beliau tidak pernah berkata kepada lembaga kelab mengenai Dembélé. Kemudian pada hari itu, Dembélé telah mengesahkan perkara itu dengan memuat naik gambar dirinya yang sedang meraikan gol di atas imej karakter Leonardo DiCaprio, Jordan Belfort daripada filem The Wolf of Wall Street.[31]

Dembélé menjaringkan hatrik secara berterusan pada Februari 2017[32][33] ketika menewaskan St Johnstone pada perlawanan liga dan menentang Inverness Caledonian Thistle dalam perlawanan Piala Scotland. Jaringan beliau semasa mengecewakan St Johnstone telah membolehkannya untuk memenangi anugerah 'Jaringan Terbaik' untuk musim 2016-17 selain dicalonkan ke dalam Anugerah Puskás FIFA.[34] Jaringan tersebut mempunyai 25 hantaran, sebuah 'rabona' dan 'back heel'. Malah, jaringan itu menyaksikan setiap pemain berjaya menyentuh bola sebelum penyudah klinikal disempurnakan oleh Dembélé bagi melengkapkan jaringan hatriknya.[35]

Sepanjang musim 2017–18, Dembélé telah mengalami tiga kecederaan yang memaksanya untuk berehat secara jumlahnya selama 82 hari. Oleh kerana beliau dibelenggu kecederaan, Dembélé bergelut untuk mendapatkan sentuhannya semula daripada musim yang lalu tetapi beliau berjaya menjaringkan 16 gol dalam 39 penampilannya. Beliau juga menyumbang kepada Celtic untuk menyempurnakan "treble" kedua berturut-turut.[36][37][38]

Lyon

Pada 31 Ogos 2018, Dembélé menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Ligue 1, Lyon.[39] Nilai perpindahan beliau dilaporkan sebanyak 22 juta euro.[40] Beliau melakukan penampilan sulungnya bersama Lyon pada 15 Septeber pada perlawanan liga menentang Caen yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.[41] Pada 26 September, Dembélé menjaringkan gol kompetitif pertamanya untuk Lyon dengan mencetak dua jaringan ketika pasukannya mengalahkan Dijon 3-0 dalam aksi liga.[42] Pada 3 Februari 2019, beliau menanduk masuk jaringan penyamaan perlawanan sebelum tendangan penalti kemenangan disudahkan oleh Nabil Fekir untuk meraih kemenangan 2–1 ke atas Paris Saint-Germain lalu menghasilkan kekalahan pertama dicatatkan oleh pendahulu Ligue 1 itu.[43]

Rujukan

WikiPedia: Moussa Dembélé (pemain bola sepak Perancis) http://www.footmali.com/malifoot/moussa-demb%C3%A9... http://www.fulhamfc.com/kids-zone/through-the-rank... http://www.fulhamfc.com/news/2013/december/03/demb... http://www.fulhamfc.com/news/2016/march/03/moussa-... http://www.fulhamfc.com/the-teams/u18s/player-prof... http://www.heraldscotland.com/sport/14738379.Harry... http://www.heraldscotland.com/sport/15086738.Celti... http://www.skysports.com/football/celtic-vs-mother... http://www.skysports.com/football/news/11787/10615... http://www.skysports.com/football/news/12025/11125...